Johor, 10 Disember 2024 – Studions Production yang diasaskan oleh En. Nazri Salleh mencipta lembaran baharu dalam usaha menghidupkan semula sejarah Melayu dengan pendekatan yang lebih segar dan kreatif. Terbaru, Nazri memperkenalkan kaedah penyampaian sejarah melalui lagu, bertujuan menarik minat generasi muda untuk mengenali dan mencintai warisan bangsa.
Kaedah ini dianggap sebagai pendekatan inovatif yang mampu meninggalkan impak mendalam terhadap generasi muda, sekali gus menanam semangat jati diri dan kecintaan terhadap sejarah bangsa mereka. “Penyampaian sejarah tidak semestinya kaku atau tradisional seperti lisan atau penulisan. Melalui lagu, mesej dan emosi sesebuah sejarah dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan mudah dihayati,” kata En. Nazri Salleh ketika ditemui.
Sebagai langkah pertama, beliau memperkenalkan lagu bertajuk “Rahsia Kasih di Puncak Ledang”, yang mengisahkan percintaan terpendam antara Puteri Gunung Ledang dan Laksamana Hang Tuah. Lirik lagu tersebut sarat dengan emosi dan bahasa puitis, membawa pendengar menyelami cinta suci yang terhalang oleh takdir serta sumpah, demi menjaga maruah dan kesetiaan kepada Sultan Melaka. Keheningan Gunung Ledang dijadikan simbol cinta abadi yang tidak kesampaian, menjadikan lagu ini sebuah karya yang menggamit jiwa dan membangkitkan nostalgia legenda Melayu lama.
Menurut Nazri, kisah ini bukan sahaja menyentuh perasaan tetapi juga memperkenalkan kembali tokoh sejarah yang sering dilupakan oleh generasi baharu. Dengan kaedah penyampaian yang lebih moden, ia memberi ruang kepada golongan muda untuk mendalami sejarah dalam bentuk yang lebih menarik dan berkesan.
Beliau turut mendedahkan bahawa lebih banyak lagu-lagu sejarah akan dihasilkan oleh Studions Production pada masa akan datang, khusus untuk mengangkat nama tokoh-tokoh Melayu serta peristiwa penting yang membentuk tamadun bangsa. “Inilah cara kita memastikan sejarah bangsa tidak lenyap. Dengan mengenali sejarah, kita boleh membina tamadun lebih tinggi pada masa hadapan,” tambahnya.
Usaha kreatif ini mendapat pujian daripada pelbagai pihak, yang menganggap pendekatan ini sebagai angin segar dalam menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan belia. Diharapkan, inisiatif En. Nazri Salleh dan Studions Production akan mendapat sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat, sekali gus mengangkat sejarah Melayu ke peringkat yang lebih tinggi.
Dengan usaha sebegini, lagu bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi turut menjadi medium ilmu yang mampu memupuk rasa bangga terhadap warisan nenek moyang kita.
Oleh: Media Tenggara – 11 Dis 2024, 2.15 PM